TAJUK: Final Destination 5
GENRE: Seram, Thriller
PENGARAH: Steven Quale
PELAKON: Nicholas D'Agosto, Emma Bell, Miles Fisher, Arlen Escarpeta
EDARAN: Warner Bros. Pictures
Sekali Imbas
Filem seram supernatural yang penuh saspens dan adegan kematian ganas ini kembali untuk siri kelima dalam francaisnya. Muncul dengan jalan cerita yang lebih inovatif, siri kelima ini membawa suasana yang lebih gelap dan serius berbanding siri-siri terdahulu.
Ulasan Penuh
Sebelas tahun dahulu, Final Destination muncul di layar perak dengan satu jalan cerita yang cukup unik sekaligus membolehkannya mempunyai pengikut tersendiri untuk francais ini.
Filem yang pada dasarnya menceritakan watak protagonis akan mempunyai visi dalaman atau premonition di mana dia dan orang-orang sekelilingnya akan mati akibat satu tragedi, terselamat dari kemalangan itu dan kemudian maut akan terus memburu seorang demi seorang di kalangan mereka.
Itulah ramuan yang sama digunakan untuk kesemua 5 filem dari francais ini. Apa yang berubah hanyalah tragedi atau kemalangan di awal filem, kemudian bagaimana setiap seorang dari mereka diburu maut dalam kematian yang amat tragik.
Namun untuk filem kelima ini, sedikit pembaharuan telah dibuat menerusi jalan ceritanya serta adegan-adegan kematian telah diolah dengan lebih inovatif untuk menjadikannya lebih tragik dan saspens.
Pengarah filem ini, Steven Quale nyata kreatif dalam memainkan emosi penonton sehingga acapkali menimbulkan kejutan pada babak kematian. Penonton mungkin merasakan pada awalnya watak ini akan mati berpunca dari sesuatu kejadian tetapi sebaliknya sesuatu yang tak disangka berlaku.
Impak kemalangan di jambatan antara senario ngeri terbaik pernah dipaparkan dalam francais Final Destination. Ia dipaparkan dengan teliti berbanding Final Destination 3 yang hanya secara menyeluruh memaparkan kemalangan roller-coaster.
Jalan cerita pula tidak selemah Final Destination 4, di mana kali ini setiap watak diceritakan tentang latar belakang mereka dan ada kisah tersendiri. Mereka mempunyai tujuan dan bukan sekadar untuk muncul dalam filem kemudian mati dengan cara yang menakutkan.
Keseluruhan, Final Destination 5 membawakan mood yang lebih gelap dan jalan cerita yang lebih serius berbanding filem ketiga dan keempat (penulis sukakan dua filem pertama siri ini namun minat dan tarikan berkurangan untuk filem ketiga dan keempat).
Sipnosis
Sam Lawton dan rakan baiknya, Peter Friedkin ditugaskan oleh majikan mereka untuk menyelia sebuah kursus lawatan kerja. Turut menyertai kursus ini ialah kekasih mereka sendiri serta rakan-rakan seperjabat lain.
Segala-galanya normal sehinggalah ketika dalam perjalanan, Sam mendapat visi bas yang mereka naiki akan melalui sebuah jambatan dan kemudian berlaku kemalangan di mana jambatan itu runtuh dan membunuh semua penumpang bas berkenaan.
Mampukah Sam menghalang kemalangan itu dan adakah mereka yang terselamat akan terus diburu maut seperti mana tragedi sebelum ini?
No comments:
Post a Comment