FinD Us

02 November 2011

AC Mizal Tak Ada Masalah Dengan Salih Yaccob!!!


Kreadibiliti pengacaraan AC Mizal menerusi program Maharaja Lawak diaukui pihak Astro sebagai sesuatu yang luar biasa sehingga melabelkan penglibatan pengacara itu sebagai tulang belakang untuk program Maharaja Lawak Mega (MLM) bagi meraih jumlah penonton yang ramai.
Bagaimanapun, masih lagi terdengar suara-suara sumbang yang tidak mahu pengacara itu mengemudi program berkenaan, sebaliknya mencadangkan penyampai Sinar FM, Salih Yaccob yang kini semakin hebat dengan program bual bicaranya di Astro Warna iaitu Salih Yaccob...I Follow.
Tidak mengambil rungsing dengan perbandingan itu, AC Mizal menerimanya dengan hati terbuka dan menganggap ianya sebagai satu resam kehidupan sebagai seorang pengacara.
"Perbandingan ini semuanya terpulang kepada citarasa masing-masing. Saya tiada masalah dengan komen dan kritikan yang diberikan terhadap diri saya. Apa yang saya tahu, saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang selebriti eksklusif Astro.
"Andai kata pihak Astro menyarankan saya untuk menjadi pembaca berita sekali pun, saya akan tetap menjalankan tugas berkenaan dengan sebaik mungkin. Sejujurnya, saya tak ada masalah dengan perkara ini," katanya.
Dalam masa yang sama, AC turut menerima cadangan sekiranya digandingkan bersama Salih Yaccob dalam mana-mana episod akan datang MLM.
"Saya tidak pernah ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja. Kalau betul saya akan digandingkan dengan Salih Yaccob dalam mana-mana episod minggu MLM, saya akan jalankannya.
"Bagi saya, setiap kerja yang kita jalankan memerlukan semangat muafakat. Ia tidak boleh bergantung kepada satu pihak saja. Yelah, secara tidak langsung saya terlibat dengan tenaga produksi. Jadi, saya memang tiada masalah dengan idea ini,"ujarnya.
Sungguhpun konsep MLM dan Maharaja Lawak tidak banyak bezanya, AC mengakui langsung tidak rasa tertekan sebaliknya perlu lebih fokus dengan keseimbangan bahasa dengan peserta dari Singapura dan Indonesia.
"Untuk merasa tertekan tu tak ada sangat. Lagi pun, saya diberikan tugasan sebagai pengacara bukannya peserta. Kalau saya jadi peserta, mungkin saya akan rasa lebih tertekan. Bezanya MLM dengan Maharaja Lawak hanyalah pada pesertanya saja. Konsepnya masih lagi sama. Mungkin kali ini, saya perlu bekerja keras dengan apa yang ingin saya sampaikan kepada para peserta kerana ada peserta dari Indonesia dan juga Singapura.
"Saya perlu menjadi penterjemah sekiranya apa yang dikatakan peserta itu tidak difahami penonton. Menjadi kewajipan saya untuk menjalankan kajian terutama sekali dalam soal melawak. Perbezaan budaya yang ada dalam MLM kali ini sedikit sebanyak menyukaran kerana saya mungkin tidak dapat membaca apa yang akan berlaku.
"Saya menonton banyak video di youtube untuk mengetahui cara bagaimana pelawak Indonesia dan Singapura membuat lawak. Saya juga perlu jadi lebih spontan. Saya akan gunakan pengalaman saya sebagai pelakon kerana sebelum inipun saya pernah memegang watak sebagai warga Indonesia," jelasnya.
Sementara itu, AC berpendapat pihaknya tidak boleh menyasarkan bilangan menonton MLM. Bagaimanapun dia mengharapkan agar MLM boleh mendapat maklum balas setanding dengan Maharaja Lawak atau lebih hebat dari itu.
"Saya mahu MLM diterima dan disokong penonton. Harapan saya supaya ianya menjadi program terbesar daripada penerbitan terbitan Astro," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...