FinD Us

01 November 2011

Dari Dunia Fesyen Ke Kulinari


 Nama Zery Zamry tidak asing lagi dalam industri fesyen tempatan, apatah lagi apabila pereka fesyen ini bergabung tenaga dengan empat lagi jenama fesyen tanah air dengan menggelarkan diri sebagai 5 Stars.
Namun begitu, kemunculan sebuah program realiti terkini, MasterChef Malaysia yang disiarkan setiap Sabtu hingga Rabu, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) telah mengejutkan ramai pengikut pereka fesyen popular itu apabila dia turut muncul dalam program masakan berkenaan.
Bukan sekadar penyertaan biasa, Zery telah dipilih sebagai 40 peserta teratas pertandingan berkenaan dan kini masih meneruskan perjuangannya untuk merebut gelaran juara MasterChef Malaysia.
Mengimbau kembali penyertaannya ketika menyertai satu lagi program realiti Project Runway Malaysia sekitar 2007, Zery berkata, antara MasterChef Malaysia dan Project Runway Malaysia ternyata banyak bezanya.
"Sudah tentu ianya beza dari segi objektif kerana MasterChef adalah untuk mencari tukang masak terhandal manakala Project Runway bagi memilih pereka fesyen terbaik. Sesuatu yang amat baru buat saya.
"Lebih ketara lagi apabila di dalam Project Runway semuanya tampak glamor, cantik dan bergaya, tetapi tidak di dalam MasterChef kerana perlu masuk ke dapur, membuat kerja menyiang ikan, memotong ayam dan daging. Semua itu berbeza," katanya.
Pereka fesyen yang terkenal dengan rekaan perkahwinan memikat itu berkata, antara menu masakan kepakarannya ialah gabungan citarasa Melayu tradisional dan hidangan barat, melahirkan sebuah hidangan fusion.
Zery berkata, dia langsung tidak menyimpan sebarang harapan untuk terpilih masuk ke dalam program pilihan ramai itu kerana kecenderungannya lebih untuk mencuba nasib bagi mencabar kewibawaannya sebagai tukang masak.
Tidak disangka, menu pilihannya iaitu Murtabak Special iaitu telur dadar berinti keju yang dihiasi dengan kerabu oren dan avocado telah menjadi pilihan pihak juri untuk terus memaggilnya ke peringkat seterusnya.
"Selepas masakan saya diterima, saya kemudiannya dipanggil ke sesi ujibakat untuk memasak menu yang sama dalam tempoh satu jam. Alhamdulillah saya terus diterima masuk ke dalam pertandingan ini dan dapat menunjukan bakat saya dalam bidang masakan.
"Bukannya saya mahu meninggalkan dunia rekaan fesyen, tapi saya rasa kebolehan saya memasak sepatutnya tidak disia-siakan begitu saja. Lebih-lebih lagi MasterChef merupakan sebuah program francais yang sangat besar impaknya," katanya.
Bagaimanapun dia sedar, bukannya mudah untuk menggondol gelaran MasterChef , apatah lagi dari hari ke hari, cabaran yang diberikan kepada setiap perserta termasuk dirinya semakin sukar dan atas semangat itulah dia terus berdiri.
Apa yang pasti, nama Zery kini bukan saja harum mekar sebagai pereka fesyen yang disegani, malah sekiranya nasib menyebelahinya, dia juga mampu bergelar seorang tukang masak professional suatu masa nanti.
"Syukur, setakat ini ramai yang menyambut baik dengan penyertaan saya ini. Rami juga yang memberi kata semangat buat saya sama ada di dalam laman Twitter mahupun Facebook saya. Bukan saja teman-teman ada ucapan itu juga datang dari rakan artis.
"Dengan kebolehan yang ada dan sekiranya di murahkan rezeki, InsyaAllah saya akan membuka restoran yang berkonsepkan butik. Jadi orang boleh datang menempah baju dan dalam masa yang sama menikmati hidangan istimewa saya," ujarnya ceria.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...