FinD Us

05 November 2011

Sukarnya Cari Pengganti Anuar Zain!!!


Pencipta lagu Sedetik Lebih, Edry Abdul Halim atau Edry KRU akui agak sukar untuk memilih siapa penyanyi yang bakal menggantikan tempat penyanyi asal lagu tersebut iaitu Anuar Zain untuk bertanding ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 26 pada 2 Disember ini.
Malah Edry KRU memberitahu, biarpun sudah teradapat ramai artis yang disenarai pendek, tetapi sehingga kini dia masih belum lagi memilih atau mengenal pasti mana-mana penyanyi yang sesuai untuk menyanyikan lagu tersebut.
"Agak sukar dan susah juga untuk memilih siapa penyanyi yang boleh menggantikan Anuar Zain. Ini adalah satu pertandingan yang agak besar dan dalam masa yang sama, saya perlu pastikan penyanyi itu tidak mengecewakan Anuar dan peminat.
"Lagipun, saya hanya akan mencari penyanyi yang bagus atau lebih hebat dari Anuar Zain saja. Oleh kerana itu,sehingga kini kami masih tidak dapat mencari siapa penggantinya," katanya yang ditemui selepas sidang media filem Vikingdom, semalam.
Dalam pada itu, apabila ditanya sejauh mana kebenaran khabar angin yang mengatakan penyanyi Jaclyn Victor adalah penyanyi yang akan menggantikan Anuar Zain, Edry bagaimanapun tidak menidakkan.
"Kami sudah ada beberapa nama yang terdiri daripada penyanyi lelaki dan perempuan untuk dipilih bagi menggantikan Anuar Zain dalam separuh akhir Muzik Muzik 26 nanti.
"Cuma kami belum putuskan lagi siapa. Namun saya tak nafikan Jaclyn terdapat dalam senarai kami. Lagipun dia merupakan salah seorang penyanyi yang hebat," jelasnya.
Walaubagaimanapun, Edry KRU memberitahu dia tidak berasa kecewa, malah menghormati keputusan Anuar Zain yang tidak mahu bertanding dalam pertandingan mencari lagu terbaik berkenaan.
"Sebagai komposer saya tak berhak untuk memaksanya. Apa yang dapat saya lakukan ialah dengan menghormati keputusannya.
"Lagipun, saya percaya keputusannya untuk tidak mahu mengambil bahagian bukannya kerana takut kalah atau menang, tapi itu adalah pendiriannya.
"Jadi saya terima sahaja keputusannya itu. Malah dia pun sudah memberi restu kepada saya untuk memilih siapa penyanyi yang akan menyanyikan lagu tersebut pada pertandingan itu nanti," tambahnya lagi.
Selain lagu Seditik Lebih, Edry juga mempertaruhkan beberapa lagu lain di separuh akhir Muzik Muzik 26 iaitu lagu Kisah Dongeng nyanyi Stacy dan Di Penghujungnya nyanyian Iqa.

Dominic Purcell Jadi Pilihan KRU Studios


Selepas gah dengan filem Hikayat Merong Mahawangsa(HMM) , KRU Studios sekali lagi melakukan sesuatu di luar jangkaan apabila berjaya mendapatkan pelakon drama bersiri Prison Break, Dominic Purcell untuk menjadi tunjang utama filem terbarunya, Vikingdom.
Malah lebih hebat lagi, filem yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya itu turut dibintangi oleh beberapa lagi pelakon luar negara seperti Craig Fairbrass (Sven), Natassia Malthe (Brynna), Jon Foo (Yang) dan Conan Steven (Thor).
Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, berkata dia berasa amat berbangga serta berbesar hati kerana kelima-lima nama besar antarabangsa itu sudi untuk membintangi filem produksi tempatan miliknya.
"Saya tahu bukan senang untuk mendapatkan Dominick Purcell tapi kami berjaya dapatkannya selepas mempunyai hubungan baik ketika membawa filem HMM ke Hollywood. Ia akan menjadi titik tolak buat kami untuk terus menerbit filem bertaraf Hollywood dengan tenaga kerja tempatan.
"Ini satu peluang yang sangat berharga, apatah lagi filem terbaru kami dibarisi oleh pelakon-pelakon hebat antarabangsa. Walaupun pada awalnya kami mula hanya dapatkan Dominick terlebih dahulu.
"Bagi saya Dominick seorang pelakon yang hebat dan profesional. Dominick punya sifat kepimpinan, kerana ketika berbincang dengannya dia sendiri telah memilih pelakon untuk bergandingan atau menjadi barisan utama filem ini.
"Akhirnya, inilah barisan pelakon utama dan hebat yang akan membintangi filem ini. Bagi saya ini filem tempatan pertama yang mempunyai elemen antarabangsa serta tampil dengan bahasa Inggeris sepenuhnya," jelasnya dalam sidang media memperkenalkan pelakon utama filem Vikigdom, di Hotel Marriot Putrajaya, semalam.
Manakala, pelakon utamanya Dominick Purcel yanga memegang watak Eirick pula berkata, dia amat teruja untuk berlakon dalam filem Vikingdom arahan Yusry Abdul Halim selepas terpikat dengan jalan ceritanya.
"Pertama sekali sebab saya terima filem ini adalah jalan ceritanya. Sebagai seorang pelakon, saya lihat filem ini membawa saya ke banyak peringkat. Apatah lagi, ianya mengingatkan saya kepada filem Highlander dan Conan. Tambahan pula, filem ini menjurus ke arah mithologi dan prinsip seorang hero.
"Saya kagum dengan nilai dan sinematografi produksi Malaysia kerana ianya merangkum banyak elemen yang menarik dan bersifat pelbagai. Dibantu lagi dengan pengarah muda seperti Yusry yang sangat berpotensi tinggi," puji pelakon kelahiran England ini.
Filem aksi yang ditulis oleh penulis lakon layar dari Amerika Syarikat, James Coine ini sedang menjalani pengambaran di beberapa tempat di Malaysia iaitu studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan di kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands dan Bukit Fraser.
Filem bertaraf antarabangsa itu bakal menamatkan pengambarannya pada 21 Disember ini serta dijangka bakal menjengah ke pawagam pada penghujung tahun 2012.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...