TAJUK: Real Steel
GENRE: Aksi, Sains Fiksyen
PENGARAH: Shawn Levy
PELAKON: Hugh Jackman, Dakota Goyo, Evangeline Lilly, Anthony Mackie, Kevin Durand
EDARAN: Touchstone Pictures
Sekali Imbas
Sebuah filem yang diilhamkan dari cerita pendek "Steel" karya Richard Matheson pada tahun 1956. Berlatarbelakangkan senario lama Americana tetapi pada era masa depan, teknologi robot animatronic dan motion capture digunakan dalam filem ini untuk aksi pertarungan antara robot.
Ulasan Penuh
Sebuah filem yang menarik dan berbaloi ditonton. Sangkaan awal penulis bahawa ini hanya akan memaparkan babak aksi pertarungan robot seperti Terminator dan I Robot di mana latarbelakang bertempat era yang penuh futuristik, meleset sebaliknya elemen kekeluargaan dipaparkan dengan baik dan menyentuh hati.
Filem ini secara keseluruhannya menceritakan pertalian antara seorang bapa dan anak. Charlie lakonan Hugh Jackman, adalah seorang yang peninju berpengalaman tetapi mempunyai sifat ego yang tinggi. Keegoan Charlie tercabar apabila dia dipertanggungjawabkan menjaga anaknya, Max selepas bekas kekasihnya meninggal dunia dan Max diserahkan kepada Charlie.
Max, lakonan Dakota Goyo, berusia 11 tahun merupakan seorang budak yang mahir dalam teknologi namun tidak matang dalam membuat keputusan. Di sini kedua beranak ini terpaksa hidup bersama dan ini menimbulkan ketidakserasian kerana kedua-duanya tidak selesa antara satu sama lain. Di sinilah berlakunya perkembangan watak dan lakonan Dakota Goyo sangat bagus untuk menghidupkan jiwa kanak-kanak Max. Hugh Jackman, bagaimanapun pada penulis masih terlihat karekter Wolverine dalam watak Charlie yang dipegangnya.
Dari trailernya, dilihat seolah-olah Real Steel akan memfokuskan pada aksi tinju robot semata-mata namun tidak. Banyak perkara yang tersirat dalam filem ini menjadikannya begitu istimewa untuk ditonton. Cuma jalan ceritanya sudah boleh diagak menjadikan filem ini agak klise, (watak hero lemah dan kalah dulu, kemudian akan berkembang dan menjadi hebat lalu menang di penghujung filem).
Menyentuh tentang penggunaan CGI, dengan bajetnya mencecah $110 juta (RM346 juta), agak mengarut kalau dikatakan kesan khasnya tidak mengkagumkan. Dunia tinju underground yang dianjurkan dan dihadiri ketua-ketua kongsi gelap, gangster dan segala jenis umat manusia kegelapan dipaparkan dengan menarik dan mimik muka robot juga tidak keterlaluan, Malah, kita boleh mengenali yang robot ini adalah jahat dan kuat manakala robot ini pula pula lemah dan perlukan bimbingan.
Secara keseluruhan, filem ini sangat bagus untuk tontonan sekeluarga kerana selain aksi dan kekeluargaan, babak humor dan komedi juga dipaparkan dengan kena pada tempatnya menjadikan filem ini penuh pengisian dan adunan pelbagai elemen yang menarik.
Sinopsis
Mengisahkan pada masa depan di mana sukan tinju diambil alih oleh robot sebagai peninju menggantikan manusia. Charlie Kenton seorang bekas peninju cuba mendapatkan wang dengan sukan tersebut untuk membayar hutangnya kepada lintah darat. Pada masa yang sama, Charlie mendapat perkhabaran yang bekas kekasinya telah mati dan dia perlu ke mahkamah untuk menyelesaikan kes penjagaan anak lelakinya, Max yang tidak ditemui atau diketahui oleh Charlie sendiri.
Charlie terpaksa menjaga Max buat seketika kerana dia ditawarkan wang tunai $100,000 dan dengan wang itu dia membeli robot baru. Namun kerana sifat ego dan kebodohan Charlie sendiri, robot barunya rosak dan tidak mampu dibaiki. Ketika mencari bahan buangan robot di tempat buangan sampah, Charlie dan Max menemui Atom, sejenis robot buangan.
Di sinilah bermulanya konflik antara Max dan Charlie, Max mahukan Atom menjadi robot peninju yang hebat tetapi Charlie tidak bersetuju dengannya. Mampukah Charlie menerima idea anaknya yang masih mentah dalam dunia tinju? Bagaimana mereka dapat menjernihkan hubungan bapa-anak yang sememanya kusut dari awal? Saksikan filem ini.

No comments:
Post a Comment