Akhirnya daripada sembilan orang gadis yang disenarai pendekkan dalam peraduan filem Scandal, tiga daripadanya telah dipilih untuk memegang watak utama dalam filem terbitan Manja Citra tersebut.
Tiga gadis bertuah yang bakal diangkat sebagai pelakon utama filem arahan Din CJ itu adalah Bkay (Bkay Nair), Tilla (Siti Nursyatilla Amirol Melvin) dan Aisha (Siti Aishah Ilias).
Pengarahnya, Dain CJ berkata dia amat yakin ketiga-tiga pilihannya itu tepat berdasarkan pakej yang ada pada mereka untuk membawakan watak Diana (Tilla), Candy (Bkay) dan Kamelia(Aisha).
"Bagi saya ketiga-tiga mereka punya pakej yang cukup untuk menjadi pelakon utama Scandal. Kalau lihat, Tilla bagi saya dia seorang yang sempurna. Bukan sahaja dilihat daripada wajahnya tetapi ketiggiannya yang sesuai untuk memegang watak pramugari.
"Manakala, Bkay pula saya tahu dia sebelum ini pun ada pengalaman berlakon. Tambahan pula, saya memilihnya kerana watak Candy itu adalah seorang bukan Melayu.
"Sementara Aisha pula, wajahnya yang cantik dan comel itu sesuai juga untuk membawakan watak Kamelia seorang gadis yang agak malang dalam filem ini. Jadi saya tidak ragu-ragu dengan keputusan saya," katanya selepas majlis sidang media filem Scandal di Sekinchan Ikan Bakar, Setiawangsa, baru-baru ini.
Bagaimanapun enam gadis lain yang tinggal turut diserapkan untuk menjadi pelakon dalam filem tersebut walaupaun tidak memegang watak-watak utama.
Bercakap mengenai bakat serta kemampuan pendatang baru yang bakal menjadi bintang kepada filem tersebut, Dain CJ memberitahu dia tidak risau tentang perkara itu kerana kesembilan-sembilan gadis tersebut akan mengkuti kelas berlakon sebelum beraksi di hadapan kamera.
"Mereka kini sedang menjalani beberapa kelas untuk menjadi seorang pelakon yang bagus dan serba boleh. Mereka sudah mula menjalani kelas sejak awal bulan Oktober dengan salah seorang gurunya adalah pelakon Fauziah Nawi.
"Mereka bukan sahaja diberikan kelas berlakon, malah beberapa kelas lain seperti kelas tarian dan pengajian aksi lasak. Saya rasa seorang pelakon yang bagus mereka perlu ada ilmu bukan sahaja pengalaman yang ada.
"Jadi, saya tidak perlu gusar kerena mereka bukan sahja ada pakej rupa paras yang menarik tapi ilmu dalam bidang lakonan selain bakat yang ada pada mereka," jelasnya lagi.
Filem yang mendapat cetusan inpirasi daripada novel Scandal karya Ritchie Rachman ini akan menampilkan 3 watak utama yang penuh dengan skandal iaitu Diana, Camelia dan Candy yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan One World Airline.
Namun, pemilihan ketiga-tiga watak tersebut telah dilakukan dengan cara yang berbeza iaitu dengan menyenarai pendek 9 gadis yang ditemui atau dipilih menerusi uji bakat untuk menyertai pencarian tiga watak filem tersebut menerusi peraduan filem Scandal di murai.com.my.
Selain Bkay, Tilla dan Aisha 6 finalis lain yang turut terlibat adalah Natasaha Nordin (Tasha), Ainur Syafeez Azizudin (Syafeenaz), Nurfarahin Othman (Farah), Nor Sabrina Zulkiflee (Sabrina), Nor Syaidatul Zainal Abidin (Syaidatul) dan Nur Azliah Artiwah Azlan (Aleeya).
Filem Scandal dijangka bakal menjalani pengambaran bermula Disember ini. Antara lokasi atau negara menarik yang bakal menjadi pilihan untuk pengambaran adalah Dubai, Paris, Korea dan Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment